Thursday 28 February 2013

Uniknya Pemberian Nama



Majalah Dewan Budaya bulan Jun 2011
Saya memiliki nama panggilan pemberian daripada Almarhumah nenda saya Hajah Rajipah binti Aswan. Hanya adik beradik dan sepupu yang betul-betul rapat sahaja yang tahu. Nak tahu apa nama panggilan itu? Baca dulu artikel ini, nanti saya beritahu ya. hehehe.....



Nama merupakan perkara penting dalam kehidupan. Sama ada manusia, benda, tumbuh-tumbuhan, binatang dan tempat mempunyai nama yang tersendiri. Sudah menjadi fitrah apabila wanita yang mengandung, pasti akan mencari nama untuk diberikan kepada anak yang bakal dilahirkan. Nama yang dipilih sudah tentu mempunyai sebutan atau makna yang menarik.

          Ada juga nama yang diberikan kepada anak yang baru lahir, tidak mempunyai makna. Asalkan bunyinya sedap didengar apabila disebut, membuatkan ibu bapa membuat pilihan yang dirasakan sesuai. dalam masyarakat Melayu lama, nama pendek seperti Abu, Amir, Ahmad, Busu, Bidin dan banyak lagi merupakan nama yang lazim diberikan kepada bayi lelaki. Untukbayi perempuan pula diberikan nama seperti Leha, Timah, Salmah, Lina dan sebagainya.

              Pada zaman dahulu, ada ibu bapa yang memberikan nama yang kurang elok kepada anak mereka seperti Buruk, Kecut, Hitam, pendek, Lampam dan sebagainya. Hal ini demikian kerana ibu bapa yang memberikan nama tersebut tidak mempunyai ilmu pengetahuan tentang baik buruknya nama yang diberikan. Mereka hanya mengikut perasaan atau rasa hati sahaja. Dalam masyarakat Melayu umumnya dan umat Islam khususnya, upacara memberikan nama kepada bayi selalunya dibuat pada hari ketujuh bayi dilahirkan. Majlis tersebut seiring dengan majlis aqiqah atau cukur jambul. Ibu bapa akan meminta pendapat daripada ahli agama atau bidan yang menyambut kelahiran bayi tersebut tentang nama yang dipilih.

                  Kebiasaannya, bagi anak lelaki, nama Ahmad atau Muhammad amat digalakkan sempena mengambil nama junjungan mulia, Nabi Muhammad SAW. bagi anak perempuan pula nama Sii menjadi ikutan, iaitu mengambil nama wanita yang masyhur pada zaman nabi.

                         Kini, majlis kenduri memberikan nama tidak lagi diraikan kerana ibu bapa kebiasaannya menyediakan nama sebelum bayi dilahirkan. Hal ini bermakna, sebaik-baik sahaja bayi dilahirkan, ibu bapa terus membuat pilihan bama yang disediakan. Kenduriaqiqah dan cukur jambul pula dilakukan untuk meraikan kelahiran bayi dan sebagai tanda kesyukuran terhadap kesihatan ibu dan anak.


 Bagi masyarakat Melayu hari ini, ibu bapa lebih suka memberikan nama yang agak panjang. Ada pantang larang dalam budaya Melayu yang mengatakan bahawa tidak begitu elok memberikan nama yang panjang kepada anak. hal ini demikian kerana apabila anak dewasa, dipercayai mempunyai akal yang panjang atau dengan kata lain pandai menipu. Sebab itulah orang dahulu hanya menggunakan nama yang pendek sahaja. 

  Budaya memberikan nama timangan kepada anak yang dilahirkan adalah salah satu perkara biasa. Anak sulung selalunya dipanggil Along, anak kedua dipanggil Angah, diikuti dengan Alang, Anjang, Acik dan yang bongsu atau terakhir dipanggil Acu. kadangkala nama yang diberikan tidak sesuai dengan bayi itu hingga dia sentiasa menangis atau terkena "sawan tangis". Maka memberikan nama timangan adalah salah satu cara untuk mengelakkan bayi tersebut menangis sepanjang hari.
Artikel ini tiga muka surat
                             Terdapat perbezaan antara nama timangan dengan nama panggilan. Nama timangan selalunya diberikan ketika masih bayi tetapi nama panggilan pula diberikan apabila dewasa. Sebagai contoh, jika di kampung tersebut terdapat ramai orang yang mempunyai nama yang sama, maka untuk membezakan mereka adalah dengan memberikan nama panggilan atau gelaran.

                                    Bagi masyarakat Hindu pula, upacara memberikan nama kepada bayi yang baru lahir dinamakan Namsaran Samskar. Upacara ini berlangsung pada hari ke 12 selepas bayi dilahirkan. Sebenarnya upacara tersebut boleh dilakukan pada bila-bila masa tetapi mestilah selepas hari ke-10 dan sebelum menyambut ulang tahun yang pertama. Hari yang ke-12 juga dipercayai bermulanya ramalan nasib bayi tersebut.

                              Pada zaman dahulu, memberikan nama bayi juga perlu bergantung kepada kasta keluarga. Brahmin merupakan kasta tertinggi, diikuti dengan Kshatriya iaitu keluarga pahlawan. Vaisya pula kasta bagi golongan peniaga dan petani, manakala kasta yang rendah pula dikenali sebagai Shudra. Maka memberikan nama kepada bayi mengikut kasta adalah amat penting. Setiap nama mestilah mempunyai makna seperti Atul bermaksud tidak boleh dilawan, Abhay bermaksud tidak takut, dan Nityanand pula bermaksud kegembiraan berpanjangan.

                 
                                     Bagi masyarakat Cina, terdapat dua bahagian pada nama mereka, iaitu nama keluarga nenek moyang dan nama yang diberikan. Kepercayaan kuno mengatakan bahawa seseorang diberikan nama untuk memudahkan mereka mengecam individu pada waktu malam. Orang Cina juga percaya bahawa nama memainkan peranan yang penting dalam kehidupan. Bagi yang mempercayai ilmu astrologi, nama bayi diberikan berdasarkan tarikh dan waktu bayi dilahirkan. tahun kelahiran mengikut kalendar cina juga memainkan peranan penting. Nama bayi lelaki diberikan dengan harapan agar anak lelaki menjadiseorang yang penyayang, disukai ramai, berjasa kepada keluarga, bercita-cita tinggi dan mempunyai kesihatan yang baik. bayi perempuan pula diberikan nama dengan harapan menjadi seorang anak, ibu dan isteri yang baik serta pandai bergaul dengan masyarakat.

                                            Terdapat juga sesetengah kepercayaan orang cina memberikan nama bayi mereka sama dengan nama binatang seperti lembu, khinzir dan lain-lain lagi. Mereka percaya bahawa nama ini akan menjauhkan mereka daripada roh jahat dan boleh memberikan umur yang panjang. Orang Cina hanya akan memberikan nama kepada bayi yang dilahirkan ketika bayi itu berumur satu bulan. Sesetengah ibu bapa akan meminta datuk kepada bayiitu untuk memberikan nama atau ahli nujum akan bertindak sebagai orang yang "arif" dalam memberi nama kepada bayi. ahli nujum akan menilikkekurangan spiritual yang terdapat pada bayi berdasarkan elemen kayu, api, tanah, air dan besi. Hal ini amat perlu bagi bayi menjalani kehidupannya di dunia.

                                              Hari ini,upacara memberikan nama kepada bayi tidak lagi diraikan secara besar-besaran. Bagi masyarakat Melayu, terdapat banyak buku panduan memberikan nama kepada anak-anak mereka. kebanyakkan nama yang disyorkan mempunyai makna yang baik. Ibu bapa boleh memilih nama yang dirasakan sesuai dengan bayi mereka tanpa meminta pendapat ahli agama atau bidan.

                                           Kaum India yang beragama Hindu pula masih mengamalkan upacara Namskaran Samskar, tetapi diubah suai sedikit bagi kesesuaian zaman oden. Jika mengikut Grihyasutras, ada lima perkara yang perlu diambilkira ketika memberikan nama kepada bayi iaitu nama itu mesttilah indah dan senang disebut, nama bayi itu perlu mengikut nombor dan huruf vokal tertentu mengikut jantina bayi. Nama bayi juga mestilah mempunyai maksud kekayaan,kemasyuran atau kuasa serta mengikut kasta keluarga.

                                                   bagi kaum Cina, kepercayaan memberikan nama anak oleh ahli nujum semakin berkurangan. Ada ibu bapa yang memberikan nama anak mereka sendiri tanpa merujuk kepada sesiapa. Yang penting, kasih sayang yang dicurahkan kepada anak tidak bergantung kepada nama yang diberikan.


-TAMAT-


Perlukah saya beritahu nama gelaran saya? Tak perlulah, biarlah rahsia...hehehehe



Wednesday 27 February 2013

Amalan Mitoni

Artikel Amalan Mitoni telah tersiar di dalam Majalah Dewan Budaya bulan Febuari 2011


Amalan Mitoni menjadi salah satu tajuk di bahagian kulit majalah

Mitoni adalah panggilan dalam bahasa Jawa atau bermaksud tujuh bulan. Dalam bahasa melayu, mitoni dirujuk sebagai adat melenggang perut. Walaupun kini masyarakat sedang berada di dunia yang serba "canggih", namun amalan atau petua yang diperturunkan dari zaman nenek moyang ini masih lagi diamalkan. Perubahan semasa dengan teknologi yang canggih mendominasi kehidupan harian, tidak menghalang segelintir masyarakat daripada berpegang teguh kepada budaya dan adat resam.
       
Cuba cari nama saya..

       Masyarakat Jawa misalnya mempunyai berbagai-bagai adat dan pantang larang yang perlu dipatuhi. Antaranya adat lenggang perut yang masih diamalkan sehingga kini. Lenggang perut bukanlah bermakna kita "melenggangkan" perutseperti hendak melakukan senaman, tetapi merupakan satu amalan bagi menentukan jantina kandungan.

       Bidan kampung akan dipanggil untukmengetuai upacara ini dan dimulakan dengan penyediaan tujuh helai kain batik yang akan disusun ditempat pembaringan si ibu mengandung. Kemudian, ibu tersebut perlu mengangkat sedikit punggungnya unuk membolehkan bidan melenggangkan kain batik tersebut secara satu per satu, seolah-olah mengayun buaian sambil mulutnya terkumat-kamit membaca jampi serapah.

       Selepas itu, setiap kain batik tersebut akan diketepikan dan kemudian barulah bidan memegang perut si ibu dengan perlahan seolah-olah memeriksa kedudukan bayi dalam kandungan. Si ibu akan dimandikan dengan air tujuh jenis bunga, manakala air mandi tersebut pula diambil daripada tujuh jenis telaga atau kolah.



       Bidan akan menjirus si ibu sebanyak tujuh kali sahaja. Selesai mandi, si ibu akan dibaringkan semula. Sebiji kelapa muda akan di "alin" atau dilalukan di atas perut si ibu. Kemudian, kelapa tersebut akan digolekkan oleh si ayah. Ketika kelapa sedang bergolek, si ayah perlu membelah kelapa tersebut. sekiranya belahan itu menegak, maka anak dalam kandungan si ibu adalah anak lelaki. Jika belahannya menyerong sedikit, dijangka anak perempuan yang dikandungkan ibu tersebut.

        Untuk jamuan kenduri, perlu disediakan tujuh jenis kuih dan tujuh jenis ubi yang direbus. Kuih lepat pulut dan ketupat adalah makanan yang wajib bagi kenduri ini. Lepat pulut diperbuat daripada beras pulut yang digaul dengan kelapa parut,kacang dal putih dan sedikit garam yang kemudiannya dibalut dengan daun palas sebelum direbus. si ayah juga akan meminta beras daripada tujuh buah keluarganya yang terdekat. Beras itu akan digunakan untuk dimasak bagi menjamu tetamu dengan sejenis masakan. Masakan tersebut dikenali dengan nasi ambeng.

       Nasi ambeng merupakan nasi putih yang telah dimasak dan diletakkan dalam dulang yang besar bersama-sama dengan lauk-pauknya sekali. Kemudian tetamu akan makan makanan tersebut di atas dulang yang sama tanpa menggunakan pinggan. Satu dulang selalunya diperuntukkan untuk lima orang tetamu. Nasi ambeng memang terkenal dalam kenduri masyarakat Jawa. Nasi ambeng biasanya berlaukkan serunding, rempeyek, ayam goreng dibelah dua, mi atau mihun goreng, ikan masin dan sayur sambal goreng yang terdiri daripada sayur pucuk yang digoreng dengan suun dan tempe.

       Di antara dulang nasi ambeng tersebut, terdapat satu dulang yang agak "istimewa" sedikit yang akan diletakkan seekor ayam goreng yang tidak dipotong langsung. Kemudian nasi ambeng tersebut akan dihidangkan di hadapan tuk imam yang mengetuai bacaan doa kesyukuran. Dalam bahasa Jawa, ayam goreng itu disebut sebagai ayam "engkong" kerana mengetuai dulang nasi ambeng yang lain. Sekiranya nasi dan lauk yang dihidangkan tidak dihabiskan, tetamu boleh membungkus makanan tersebut untuk dibawa pulang ke rumah. Sememangnya plastik untuk membungkus makanan disediakan di tepi dulang tersebut. Tetamu juga turut dihidangkan dengan bubur merah dan cendol sebagai hidangan pencuci mulut.

       Kenduri mitoni selalunya dibuat hanya untuk menyambut kelahiran yang pertama sahaja. Sekiranya ada di antara keluarga ataupun adik-beradik yang lain turut mengandung, maka mereka perlu menukar sehelai kain batik antara satu dengan lain.

       Adat mitoni ini turut dilakukan di negara-negara lain. Cuma caranya sahaja yang berbeza. Di Thailand, mereka amat mengambil berat tentang keselamatan si ibu dan bayi dalam kandungan daripada roh jahat. Perut si ibu yang sedang mengandung akan dicat dan bidan akan menari di sekeliling ibu untuk menghalau roh-roh jahat yang dipercayai akan "mencuri" bayi dalam kandungan tersebut. Hadiah tidak boleh diberikan kepada si ibu kerana ditakuti akan menarik perhatian roh jahat.


Dua muka surat


       Di Amerika Syarikat, upacara meraikan bayi (baby showers) diadakan. Upacara tersebut hanya dihadiri oleh kaum hawa sahaja. Hadiah seperti pakaian dan aksesori bayi akan diberikan kepada si ibu. Jika si ibu yang mengandung mengizinkan, perutnya boleh disentuh oleh semua yang hadir pada upacara tersebut sebagai tanda keberkatan.

       Di India, bakal ibu akan memakai sari yang dihadiahkan oleh ibunya sendiri. Selain itu, si ibu yang mengandung juga perlu memakai barang kemas yang dihadiahi oleh ibunya sendiri, ibu mertua dan suami. Kawan perempuan yang hadir di majlis tersebut akan menyolekkan bakal ibu dan menghiasnya dengan memakaikan kalungan bunga di rambut. Sejenis cat merah yang dipanggil parani akan disapu di bahagian kaki si ibu. Inai juga turut dipakaikan di kedua-dua belah tangan dan kaki. Selesai dihias, bakal ibu akan diminta untuk duduk di sebuah kerusi yang besar dan dihias mewah. Kaum perempuan yang hadir perlu menghadiahkan gelang dan manisan kepada bakal ibu. Gelang yang dihadiahkan itu akan dipakaikan sebagai tanda membawa keberkatan agar dapat melahirkan bayi yang sihat. Kemudian, makanan dihidangkan beserta dengan persembahan nyanyian dan tarian sebagai hiburan. Persembahan tersebut hanya boleh dipersembahkan oleh kaum perempuan sahaja. Cenderahati berbentuk kain, pisang, kacaang, mata wang, manisan dan aksesori rumah, akan dihadiahkan oleh tuan rumah kepada para tetamu.

       Walaupun amalan mitoni masih diamalkan sehingga kini, terdapat beberapa perubahan yang dibuat agar bersesuaian dengan syariat Islam. Bidan tidak lagi menjampi serapah tetapi digantikan dengan bacaan doa dan selawat ke atas nabi Muhammad SAW. Selain itu, tiada lagi amalan mandi bunga dari air yang diambil dari tujuh kolah yang berlainan. Kuih-muih dan ubi rebus yang disediakan juga tidak lagi perlu dihidangkan sebanyak tujuh jenis, hanya beberapa jenis sudah memadai. Hal ini kerana untuk mengelakkan pembaziran yang sering kali berlaku. Si bapa juga tidak perlu lagi meminta beras daripada keluarga terdekat, hanya memadai dengan kemampuan keluarga tersebut.

        Kini, kebanyakkan bakal ibu lebih selesa dengan rawatan moden yang banyak diberikan. Hospital kerajaan dan swasta menyediakan khidmat nasihat bagi pasangan yang menunggu kelahiran. Doktor yang pakar dalam bidang pemakanan akan mengesyorkan pemakanan yang sihat dan seimbang untuk bakal ibu dan bayi di dalam kandungan. Aktiviti senaman ringan juga diajar sebagai persediaan awal si ibu bagi menghadapi proses bersalin dengan tenang dan senang.

Penghargaan

Dengan lafaz Bismillahir Rahman nir Rahim, saya menulis...

Sebaik sahaja saya tamat mengikuti kursuspenulisan.com dibawah tunjuk ajar mentor Tuan Zamri Mohamad, maka lahirlah artikel Amalan Mitoni. Saya mengambil masa kira-kira tiga hari bagi menyiapkannya sebelum dihantar ke editor Majalah Dewan Budaya.

Penghargaan yang tidak terhingga kepada Tuan Zamri Mohamad kerana dengan bimbingan dan tunjuk ajar beliau sewaktu di kursuspenulisan.com, menjadikan saya berani untuk mengambil langkah bagi menulis artikel yang pertama ini. Saya mendoakan agar segala tunjuk ajar tuan mendapat redha Allah SWT dan dapat memberi manfaat kepada seluruh umat manusia.

Terima kasih juga kepada rakan-rakan di tim-penulis-bebas@googlegroups.com kerana memberi komen yang membina tentang artikel ini. Rakan-rakan di group ini juga yang telah mengesyorkan kepada saya supaya artikel ini dihantar ke meja editor Majalah Dewan Budaya. Budi baik tuan-tuan semua hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya. Saya mendoakan agar tuan-tuan dirahmati oleh Allah Yang Maha Esa.

Kepada bekas editor Majalah Dewan Budaya iaitu Puan Aninah Janang, terima kasih kerana telah memberi sedikit ruang bagi menyiarkan artikel-artikel saya. Semoga Allah merahmati puan sekeluarga.

Buat suami yang kuhormati, bonda tercinta dan anak-anak tersayang, terima kasih kerana memberi sokongan dan galakkan.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada Cik Wok, Wak Udin, Wak Ani dan semua yang terlibat ketika saya melakukan research bagi menulis semua artikel. Hanya Allah sahaja yang mampu membalas budi baik anda semua. Semoga rahmat Allah sentiasa menyinari kehidupan anda semua.

Saya mengharap segala artikel-artikel yang ditulis mendapat keredhaan dari Allah SWT. Semoga tulisan ini dapat memberi manfaat kepada semua umat manusia. Yang baik itu sudah tentu dari yang Maha Kuasa. Salah dan silap adalah kerana kebodohan saya sendiri. Saya memohon maaf di atas kekhilafan saya.

Terima kasih semua!